Just want to tell everyone that ISLAM IS THE REAL WAY OF LIFE

Selasa, 24 Januari 2012

::Puaskan Hati Anda Sahaja?::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول الكلامي
Setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu, setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap saat..
Akan ada sahaja agenda yang ingin dilaksanakan oleh setiap manusia di muka bumi Allah Subhanahu Wata'ala ini, tidak mengira masa sama ada pagi, petang mahupun malam. Mereka cuba untuk memanfaatkan segala masa yang ada untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.


Alhamdulillah. Itu satu perkara yang bagus dan harus diteruskan agar ia dijadikan amalan. Ia juga perlu diwarisi oleh generasi masa akan datang supaya kehidupan berjalan dengan baik dan lancar




Tetapi,
Ana ada soalan untuk semua pembaca.

Adakah segala perbuatan anda itu hanya dapat memuaskan hati anda sedangkan yang lain itu anda membiarkan mereka begitu sahaja tanpa memikirkan perasaan mereka?

Kita perlu ketahui bahawa setiap manusia mempunyai perasaan dalaman yang berbeza-beza. Ada yang mudah terasa, ada pula yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Jika seorang manusia yang mudah terasa, hubungan persahabatannya kebanyakannya bermasalah, manakala jika seorang manusia yang mudah memaafkan kesalahan orang lain pula, hubungan persahabatannya akan sentiasa terbina dan kukuh.


Allah Subahanhu Wata'ala ada berfirman dalam Al-Quran ;


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Al-Hujuraat 49:10)





Yang paling penting,

Adakah segala perbuatan yang anda lakukan sepanjang hidup anda menepati cita rasa ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA dan rasulNya, MUHAMMAD SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM?


Ini sepatutnya yang kita perlu dahulukan. Sebelum kita lakukan sesuatu kerja, kita perlu pastikan bahawa segala perbuatan kita itu dilakukan dengan ikhlas serta berlandaskan dengan syariat Islam. Untuk memastikan bahawa kita menepati cita rasa Allah dan rasulNya, Nabi Muhammad, ada satu sahaja jalan yang terbaik iaitu TAQWA yang bermaksud takut kepada Allah dengan mematuhi segala perintahNya serta meningggalkan segala laranganNya. Mulianya orang bertaqwa sepertimana yang telah disebut oleh Allah dalam Al-Quran ;


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Al-Hujuraat 49:13)

Dah berjaya penuhi segala kemahuan Allah Subhanahu Wata'ala, Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam dan umat manusia yang lain?

Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah.




~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ

Isnin, 23 Januari 2012

::Teknik-Teknik Menghafal Al-Quran::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Anda dah hafal ayat-ayat suci Al-Quran? Sudah? Alhamdulillah.
Bagaimana? Senang ke susah?
Senang? Susah?
Ikut cara masing-masing.



Untuk catatan kali ini, ana ingin berkongsi sedikit tentang tip-tip untuk mengahafal ayat suci Al-Quran. Ada beberapa cara yang boleh diguna pakai sebagai panduan untuk mengahafal tetapi ianya mengikut kemampuan diri sendiri. Tip-tip tersebut adalah seperti yang berikut ;

A) Teknik 'Chunking'
1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memisah-misahkan selembar muka surat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu', cerita dan sebagainya.
5. Memisah-misahkan Al-Quran kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.

B) Teknik Mengulang
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat yang seterusnya.
3. Selepas mengahafal setiap setengah muka surat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu muka surat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat yang seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Quran seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.


C) Teknik Tumpu Dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, muka surat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau muka surat tersebut dengan minda.


D) Teknik Menghafal Dengan Seorang Teman
1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.


E) Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari yang baik seluruh Al-Quran atau beberapa qari bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Quran dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu pengahafalan.


F) Teknik Merakamkan Suara
1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut.
3. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya.


G) Teknik Menulis
1. Tulis kembali muka surat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal muka surat, atau setiap rubu', atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.


H) Teknik "Pointers" dan "Keyword"
1. Buat beberapa kotak.
2. Setiap kotak merupakan satu muka surat.
3. Catit dalam kotak tersebut beberapa perkataan yang menjadi keyword bagi muka surat tersebut.
4. Merenung dan membayangkan kotak tersebut dalam ingatan.


I) Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisinya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal.
4. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.


J) Teknik "Mindmaping"
1. Bagi setiap juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu rubu'. Tulis ayat pertama rubu' tersebut di cabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu'.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi rubu'.


Ana berharap agar panduan-panduan yang telah tersenarai di atas membantu semua pembaca untuk mengahafal ayat suci Al-Quran dengan baik. InsyaAllah.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ

::Sudah Bersedia Untuk Mati?::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Alhamdulillah, Allah Subhanahu Wata'ala Yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu telah memberikan peluang kepada ana dan semua pengunjung untuk menjalani serta meneruskan kehidupan sebagai makhluk yang bergelar manusia. Cukup indah dan seronoknya hidup ini dengan adanya segala kemewahan yang kita sedang nikmati ini yang mana ia datang kepada kita tanpa kita sedari.


Seronokkan hidup? Rasa macam tidak mahu mati saja. Rasa macam nak semua yang 'best-best' itu sentiasa berada di sekeliling kita. Tapi, apakan daya. Semua itu hanyalah keseronakan yang sementara manakala keseronokan yang hakiki adalah ketika berada di syurga. Mati tetap perlu kita hadapi sepertimana yang telah dinyatakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam kalamNya :


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(A-li'Imraan 3:185)

Sebelum kita merasai kematian, adakah kita telah bersedia untuk mengahadapinya? Adakah kita semua telah cukup amalan sebagai bekalan untuk dibawa ke padang Mahsyar kelak? Adakah kita sudah melaksanakan semua rukun Iman dan rukun Islam? Adakah kita telah melaksanakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah dan RasulNya, Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam?

Ingatlah, Allah Subhanahu Wata'ala telah mengingatkan kepada kita bahawa kita perlu bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa serta mati dalam keadaan Islam. Perkara ini juga telah dinyatakan dalam ayat Allah Subahanhu Wata'ala dalam Al-Quran :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
(A-li'Imraan 3:102)

Sudahkah kita bersedia mengahadapi maut? Fikir-fikirkanlah.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ