Just want to tell everyone that ISLAM IS THE REAL WAY OF LIFE

Isnin, 18 November 2013

::Fattabiouni : Wajib Bersyukur & Menghargai Nikmat::

بسم الله الرحمن الرحيم



Moto hidup Rasulullah :
"Tidakkah aku ingin menjadi hamba yang bersyukur."

Sabda Nabi S.A.W. :
"Sesiapa yang tidak mensyukuri yang sikit, takkan mensyukuri yang banyak."

Firman Allah S.W.T. :
"Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah kau nyatakan (dengan bersyukur)."

Nabi S.A.W. bersabda :
"Al-Hamdu akan memenuhi timbangan."

Apabila disebutkan 'Alhamdulillah', kamu memuji kerana sesuatu nikmat itu, pujian (Al-Hamdu) lebih besar nikmatnya dari nikmat tersebut.

Tafakkur pada kenikmatan mewarisi sifat syukur.

Nabi S.A.W. telah menganjurkan umatnya agar hidup bersama nikmat dan merasai kehidupan bersama pemberi nikmat.

Sabda Nabi S.A.W. :
"Berbicara tentang nikmat Allah adalah kesyukuran."

Peringkat syukur :
1)Tahu ia nikmat dari Allah.
2)Berusaha setiap nikmat yang diberikan kepadanya.

Sabda Nabi S.A.W. :
"Lihatlah mereka yang berada di bawah kamu, bahawa selayaknya janganlah kamu menghina nikmat Allah."

Allah S.W.T. berfirman :
"Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur."

Sujud syukur boleh dilakukan di mana-mana pada bila-bila masa dan keadaan.


قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu.."

(Surah Ali-'Imran : Ayat 31)


--------------------------------------
[= Fattabiouni : Wajib Bersyukur & Menghargai Nikmat
[= 18 November 2013M / 15 Muharam 1435H

モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Sabtu, 21 September 2013

::Fattabiouni : Minat Rasulullah S.A.W. Pada Wangian::

بسم الله الرحمن الرحيم


Rasulullah S.A.W. bersabda :
"Perkara yang disukai oleh aku daripada dunia, wanita yang halal dan WANGIAN."

Berwangi menyegarkan jiwa untuk beribadah.

Nabi jadikan wangian, 1/3 dari mas kahwin Fatimah.

Sabda Nabi S.A.W. :
"Sebaik-baik wangian ialah kasturi."

Wangian yang disukai Rasulullah :
- Kasturi 
- 'Anbar
- Faghia (Bunga dari pohon inai)
- Raihan 

Nabi S.A.W. bersabda :
"Barangsiapa yang mendapat Raihan maka jangan ditolak, kerana ia berasal dari Syurga."

Manusia mampu membezakan antara 5000 aroma yang berlainan.

Anas berkata :
"Aku tak pernah cium haruman 'Anbar, Kasturi dan wangian lain yang lebih harum dari haruman Rasulullah."

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu.."

(Surah Ali-'Imran : Ayat 31)


--------------------------------------
[= Fattabiouni : Minat Rasulullah S.A.W. Pada Wangian
[= 21 September 2013M / 15 Zulqa'dah 1434H

モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Sabtu, 14 September 2013

::Tak Boros Bersyukur. Tak Rugi Bersabar::

بسم الله الرحمن الرحيم

Sehebat-hebat aku, 
Ada yang lebih hebat daripada aku.

Seteruk-teruk aku,
Ada yang lebih teruk daripada aku.

Tak perlu bangga dengan kelebihan yang ada.
Jangan berputus asa dari rahmatNya.

Sentiasa rendah diri & tunduk pada kebijaksanaanNya.
Sentiasa ada jalan buat yang ingin kembali kepadaNya.

Allah Maha Bijaksana.
Allah Maha Pemurah.

Hebatnya kita kerana Dia.
Teruknya kita kerana Dia.

Apakah kita lupa akan nikmat yang diberikanNya selama ini? 
Apakah kita lupa akan musibah yang ditimpakanNya selama ini? 

Nikmat itu milik Dia.
Musibah itu milik Dia.

Nikmat itu ujian.
Musibah itu ujian.

Banyak syukur dengan nikmat, Iman bertambah.
Banyak sabar dengan musibah, Iman bertambah.



--------------------------------------
[= Tak Boros Bersyukur. Tak Rugi Bersabar

[= 14 September 2013M / 8 Zulqa'dah 1434H

モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Isnin, 19 Ogos 2013

::Kita Warga Pendosa::

بسم الله الرحمن الرحيم

Wahai para pendosa
Sedarkah kita? 
Masih leka dengan dosa?
Atau sudah lena dengan dosa
Dengan dosa, tidak perlu setia,
Kerana hidup manusia ini tidak lama.
Mati bakal kita jumpa.
Mati tidak tunggu kita bersedia.

Wahai para pendosa
Berterusan dengan dosa itu merosakkan jiwa.
'Istiqamah' dengan dosa itu tidak membawa makna.
Konsisten dengan dosa itu hanyalah amalan sia-sia.
Kembalilah menuju jalanNya.
Tidaklah Tuhan itu terima amalan hambaNya, 
Melainkan dengan syarat, taubat nasuha.

Wahai para pendosa
Banyak pahala, baginya Syurga.
Banyak dosa, baginya Neraka.
Pilihan hati sudah pasti Syurga.
Tetapi, 
Terkadang kita lupa.
Kita sebenarnya tidak layak untuknya,
Kerana dosa sudah jadi rutin hidup kita.
Bukan kita tidak cakna.
Tetapi,
Perlu juga kita akui.
Kita adalah pendosa yang acap kali alpa.




--------------------------------------
[= Kita Warga Pendosa

[= 19 Ogos 2013M / 12 Syawal 1434H

モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Sabtu, 25 Mei 2013

::Fattabiouni : Adab Dan Sunat Dalam Bermusafir::

بسم الله الرحمن الرحيم


Musafir - Pergi ke sesuatu tempat yang jaraknya melebihi 90KM dari tempat tinggal dengan tujuan yang baik dan betul.

Adab & Sunat Dalam Bermusafir :

1) Tujuan perjalanan adalah baik dan betul.
2) Sebelum bermusafir, tunaikan solat sunat 2 rakaat.
3) Sunat untuk bermusafir pada hari Khamis, tidak digalakkan pada hari Jumaat.
4) Bermusafir pada waktu malam.
5) Bawa beg kecil untuk simpan keperluan asas untuk dirinya.
6) Ucap selamat tinggal dan memohon doa.
7) Memohon doa kepada orang musafir dek kerana doanya yang mustajab.
8) Baca doa musafir apabila keluar bermusafir.
9) Bermusafir bersama teman yang boleh dipercayai. Jika ramai, pilih seorang ketua untuk mengetuai perjalanan.
10) Bertakbir apabila naik ke tempat yang tinggi dan bertasbih apabila turun ke tempat yang rendah.
11) Al-Huda' (Nyanyian musafir)
12) Apabila memasuki sesuatu kawasan (kampung, pekan, daerah, negeri dll.), baca doa.
13) Membawa pulang hadiah daripada bermusafir.


قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu..
(Surah Ali-'Imran : Ayat 31)


--------------------------------------
[= Fattabiouni : Adab Dan Sunat Dalam Bermusafir
[= 25 Mei 2013M / 15 Rejab 1434H

モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Jumaat, 5 April 2013

::Umur Yang Bertambah Untuk Muhasabah Yang Istiqamah::

بسم الله الرحمن الرحيم

Maher Zain - Thank You Allah

Pernah dengar lagu ni?
Mestilah pernah kan.
Dah famous satu dunia.

Alhamdulillah!
Segala puji bagi Allah.
Terima kasih, Allah. :)

Syukur yang tak terungkap kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas segala pemberianNya yang sudah pasti tiada seorang pun manusia yang mampu menghitungnya.

Hari ini, 5 April 2013.

"Ada apa dengan tarikh ni?
Takde apa-apa pun yang tercatat dalam kalendar."

ADMIN syok sendiri sebenarnya,
Sebab hari ni ulang tahun kelahiran ADMIN.
Hehehe..

Sesungguhnya,
Umur yang semakin meningkat adalah satu peringatan buat diri kita,
Agar sentiasa untuk tak lupa kepada Pemberi nikmat. 

Adapun,
Ia juga sebagai amaran kepada manusia,
Agar tak lupa untuk sentiasa beramal sebanyak mungkin,
Serta meninggalkan perkara-perkara terlarang,
Sementara masih berpeluang untuk melakukannya.

Kalau dah dicampakkan ke neraka baru nak menyesal,
Sia-sialah penyesalan tersebut.

وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ ۚ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ ۖ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِن نَّصِيرٍ
Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".
(Surah Fatir : Ayat 37)

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ
Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.
(Surah At-Tin : Ayat 5)

Tahukah anda?

"Tak tahu.
Apa dia?"

Memanglah tak tahu.
Tak bagitahu pun lagi.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam ada ajarkan kita cara untuk panjangkan umur serta cara untuk dapatkan husnu al-khatimah (kematian yang baik)

Dari Amru bin Auf RA katanya Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya)."
(H.R. Bukhari)

Nabi SAW bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya,"
(Jabir R.A.)

Bak kata Prof Muhaya, "Jom audit diri!"
Ayuh sama-sama kita sentiasa 'setting' NIAT, 'upgrade' IMAN, 'download' SABAR, 'upload' USAHA, 'delete' DOSA, 'update' DOA, dan 'top up' ILMU, supaya dapatlah pahala banyak-banyak bagi menhadapi hari yang mendatang yang tak menentu.


--------------------------------------
[= Umur Yang Bertambah Untuk Muhasabah Yang Istiqamah
[= 5 April 2013M / 24 Jamadilawal 1434H

モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Sabtu, 19 Januari 2013

::Wanita Adalah Ujian Kepada Lelaki::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Dunia ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala ini telah dihiasi dengan pelbagai perhiasan yang sangat cantik, menarik, tertarik seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan, gunung-ganang dan sebagainya. Dan ketahuilah bahawa perhiasan yang paling cantik di muka bumi ini adalah WANITA.


Wanita boleh jadi perhiasan kepada dunia.
Dalam masa yang sama,
Wanita boleh jadi ujian kepada lelaki.

Kenapa?
Ada hadith telah menyebut tentang kenyataan tersebut ;


Daripada Usamah bin Zais R.huma dari Nabi SAW sabdanya, “Aku tidak tinggalkan selepas kematianku satu ujian kepada kaum lelaki yang lebih mencabar melainkan ujian dengan perempuan”. 
(H.R. Muslim)

Semasa di dunia, manusia tidak dapat lari daripada ujian Allah dan seberat-berat ujian ialah ujian dengan kaum wanita kerana kerap kali berlaku kecenderungan kepada wanita menyebabkan lelaki melakukan perbuatan yang menyalahi syarak seperti zina, rogol, buang anak dan sebagainya.

Dalam pada itu, Islam juga mengingatkan kaum lelaki supaya mengawasi diri daripada godaan wanita. Ini kerana wanita juga boleh jadi fitnah yang besar buat lelaki sepertimana hadith yang disabdakan oleh Baginda daripada Usamah Bin Zaid Radhiallahu 'anhu ;


Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.
(H.R. Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah)


Wanita juga adalah daya penarik kepada kaum lelaki dari pelbagai aspek. Antara daya penarik yang paling kuat dan disukai ramai adalah kecantikan. Oleh kerana yang demikian, berwaspadalah dalam memilih calon pasangan hidup. Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah menggariskan beberapa panduan sebagaimana berikut ;

1. HARTA
2. KECANTIKAN
3. KETURUNAN
4. AGAMA ----- {FAKTOR PILIHAN UTAMA}

Di sini juga, kita boleh lihat betapa peritnya hidup seorang lelaki dalam menghadapi hidup bersama wanita selain dugaan yang diterima oleh seorang ibu yang melahirkan anak. Contohnya, perasaan seorang wanita sangat perlu dijaga dengan baik dek kerana mereka sangat sensitif terhadap sesuatu yang sememangnya menjadi lumrah hidup seorang wanita. Oleh itu, lelaki dan wanita sama-sama perlu bekerjasama untuk menjaga nama baik masing-masing supaya masing-masing boleh maju dalam segala aspek dan bidang yang diceburi.

Konklusinya, wanita boleh jadi sumber kebaikan dan juga boleh jadi sumber kejahatan buat kaum lelaki.

Pesan ana buat kaum wanita sekalian,
Jadilah wanita yang sebenar-benar perhiasan dunia iaitu dengan memelihara aurat dengan sempurna serta menanam sikap dan tingkah laku yang mahmudah dalam diri masing-masing. Dikhuatiri akan mengundang perkara yang tak diduga kepada diri anda juga jika anda tidak mengambil berat mengenainya.


MUSLIMAH SEJATI TONGGAK KEMAJUAN AGAMA


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Jumaat, 18 Januari 2013

::Mentaati Rasulullah S.A.W.::

Menyintai Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bukanlah hanya dengan slogan dan kata-kata laungan semata-mata, namun hendaklah dibuktikan dengan mentaati segala ajaran yang disampaikan oleh Baginda.

Kewajipan mentaati Baginda Sallallahu 'alaihi Wasallam dijelaskan melalui firman Allah Subhanahu Wata'ala ;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
(Surah An-Nisa' : Ayat 59)

Maksud mentaati Allah dalam ayat di atas ialah mengamalkan isi kandungan Al-Quran, manakala maksud mentaati Rasul pula ialah menjadikan segala ajaran Baginda yang berupa hadith dan sunnah sebagai panduan. Sedangkan mentaati Ulil-Amri bererti mematuhi pemimpin yang mengetuai urusan kaum muslimin selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam yang telah ditetapkan oleh Allah.

FirmanNya lagi ;

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا
Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).
(Surah An-Nisa' : Ayat 80)


Ayat ini menegaskan, bahawa tunduk dan patuh kepada setiap perintah Rasul yang berupa peraturan dan syariat bererti tunduk dan patuh kepada perintah Allah Subhanahu Wata'ala, sebaliknya, mengingkari Rasul bererti mengingkari Allah kerana pada hakikatnya yang memerintah dan yang menegah itu sebenarnya Allah.

Setiap syariat dan peraturan Allah yang disampaikan kepada umatnya, bukan direka-reka atau dicipta menurut kehendak dan nafsu Baginda. Firman Allah Subhanahu Wata'ala ;

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ
Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
(Surah An-Najm : Ayat 3-4)


Kelebihan mentaati Allah dan Rasul dinyatakan dalam Al-Quran,

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).
(Surah An-Nisa' : Ayat 69)


Menurut Aisyah riwayat At-Tabrani dan Ibnu Mardawaih dari Saidatina Aisyah Radhiallahu 'anha berkata ;

Seorang lelaki telah mendatangi Nabi S.A.W. lalu berkata : "Ya Rasulullah, sesungguhnya tuanlah yang sangat saya kasihi melebihi dari diri sendiri dan juga anak saya. Sekiranya saya mengingat-ingat tuan di rumah, tidak tertahan rasanya bertemu dan melihat tuan. Dan jika teringat kematian dan kewafatan tuan nanti, sedarlah saya kalau tuan memasuki syurga saya takut tidak dapat lagi melihat tuan."

Tidak lama selepas itu turunlah ayat di atas di mana Tuhan menjanjikan kepada orang-orang yang mentaati Allah dan juga Rasul, mereka bakal mendiami syurga bersama para Anbiya', orang-orang Siddiqiin, para syuhada' dan juga orang-orang yang soleh di akhirat kelak.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Isnin, 14 Januari 2013

::Kewajipan Menyintai Rasulullah::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Memandangkan bulan kelahiran manusia teragung yakni Rasul Allah, Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam telah tiba buat tahun 1434H, jadi eloklah kita sama-sama mengingati akan kewajipan kita untuk menyintai Baginda sebagai tanda kita patuh pada perintah Allah.


Al-Quran menjelaskan kewajipan menyintai Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala ;


قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Ali-'Imran : Ayat 31)


Berdasarkan ayat di atas, syarat untuk dikasihi Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat pengampunan daripadaNya hendaklah menyintai Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam serta mengikut ajaran yang disampaikan oleh Baginda dengan sepenuhnya. Janganlah sekali-kali menidakkan ajaran Baginda, sama ada yang berupa suruhan mahu pun larangan.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala ;

 وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
(Surah Al-Hasyr : Ayat 7)

Menyintai Allah dan Rasul hendaklah diutamakan daripada perasaan cinta dan kasih kepada yang lain. Allah Subhanahu Wata'ala menegaskan dalam firmanNya ;

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(Surah At-Taubah : Ayat 24)


Justeru, mereka yang lebih mengutamakan perasaan cinta kepada bapa, cinta kepada anak, isteri, keluarga, harta, perniagaan dan tempat tinggal (rumah) melebihi cinta kepada Allah dan RasulNya, golongan ini bakal mendapat seksaan Allah sama ada cepat atau lambat, di dunia mahupun di akhirat. Kesimpulannya, antara kepentingan agama dan kepentingan dunia maka hendaklah diutamakan kepentingan agama daripada segala-galanya.

Memupuk perasaan cinta kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam hendaklah bermula dari kanak-kanak. Pesan Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam kepada ibu bapa ;

Ajarilah anak-anak kamu tiga perkara, mencintai Nabi kamu, mencintai ahli keluarga Baginda dan membaca Al-Quran, kerana penghafal Al-Quran kelak akan dilindungi Allah pada hari tiadanya lindungan selain lindunganNya bersama-sama Nabi-NabiNya dan kekasih-kekasihNya.
(Hadith riwayat Abu Nasr Abdul Karim Asy-Syirazi di dalam Fawaied dan Ibnu Najjar daripada Ali Radhiallahu 'anhu)



~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Rabu, 9 Januari 2013

::Aurat Dan Ikhtilat (Bahagian 2)::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
~ Bersyukur VS Hipokrit??
~ Don't judge a book by its cover

Apa kaitan 2 frasa ni dengan tajuk post ni erk?
Hmmm.. Nak faham baca dulu..


Menghidup udara secara percuma, masih mempunyai jasad yang sempurna untuk terus melaksanakan perintahNya dan 1001 nikmat yang diberikanNya seharusnya menjadikan kita sebagai hamba yang bersyukur.

Apakah yang ingin dimaksudkan dengan bersyukur? Bersyukurlah dengan terus melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Justeru, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi penghalang untuk mengerjakan semua kewajipan agama, termasuklah menutup aurat dan menjaga ikhtilat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambaNya. Apa yang perlu diusahakan adalah terus-menerus berusaha memperoleh keikhlasan dalam melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Natijahnya, bisikan-bisikan seperti 'ingin berubah hasil hati sendiri bukan kerana desakan orang lain', 'tidak ikhlas kerana berubah untuk manusia' dan 'tidak mahu hipokrit kepada orang lain' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus-menerus menjauhi kewajipannya. Ingatlah, berterusan dalam dosa walaupun mengetahui hukumnya akan menambahkan kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala seterusnya menyebabkan diri seseorang itu TIDAK AKAN BERUBAH ke arah yang lebih baik.


"Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya."
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Ungkapan di atas yakni "don't judge a book by its cover" kerap kita dengar dari wanita yang tidak menutup aurat. Benarkah penampilan luaran menggambarkan dalam hati seseorang? Ada juga yang sudah semakin 'advance' hujahnya lantas berhujah dengan sebuah hadith Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam yang shahih iaitu ;

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu"
(Riwayat Muslim)

Jika hendak diaplikasikan ungkapan ini dalam agama Islam, perlulah dinilai sedalam-dalamnya terlebih dahulu. Ramai di antara kita yang sering beranggapan ; "Hati kami baik walaupun kami tidak menutup aurat..", "Orang yang solat, belum tentu baik..", "Orang yang berpuasa belum tentu solat..", "Wanita yang bertudung litup, berbaju labuh, belum tentu baiknya.."

Persoalannya, adakah hati itu baik dan sihat jika melanggar perintah Allah dengan tidak menutup aurat? Orang yang solat belum tentu baik? Tetapi ketahuilah bahawa orang yang baik tentu akan solat dan memelihara solatnya. Orang yang puasa belum tentu solat? Tetapi sedarlah bahawa orang yang solat tentu berpuasa. Wanita yang bertudung litup, berbaju labuh belum tentu baiknya? Tetapi sudah tentu wanita yang baik dan solehah akan menutup auratnya untuk mengelakkan diri dari menjadi anak panah syaitan yang berbahaya.


"You're what you're saying. You're what you're doing. So, please behave and be youself because sometimes they need to judge you from your appereance.." Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' seperti apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu 'that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.

*Dipetik daripada Al-Marjan SMAP Labu (29 September 2012)

~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Selasa, 8 Januari 2013

::Aurat Dan Ikhtilat (Bahagian 1)::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Saya rasa semua orang pernah dengar perkataan aurat dan ikhtilat. Cuma yang menjadi masalah kita berkaitan dengan kedua-dua perkataan tersebut adalah cara kita nak memahaminya. Jadi, untuk post ini, ana akan menjelaskan sedikit sebanyak menganai istilah AURAT dan IKHTILAT. Jom sama-sama fahamkannya untuk lebih dekat dengan Pencipta.


وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
(Surah Al-An'am : Ayat 116)

Perkataan ikhtilat itu pada adatnya bermaksud pergaulan. Di dalam konteks Islam, ikhtilat boleh diertikan sebagai suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan wanita ajnabi. Ia merupakan satu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang kepada maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari. Tambahan pula, kemajuan era teknologi sekarang ini, ikhtilat bukan sahaja melibatkan perjumpaan antara lelaki dan wanita yang ajnabi malah dengan kemudahan yang ada seperti Facebook, Skype, Twitter dan lain-lain telah menjadikan jarak yang jauh didekatkan, masa yang berbeza tidak menjadi masalah, begitu juga dengan kos perhubungan. Budaya ini terus menjadi darah daging masyarakat kita terutamanya pemuda pemudi Islam. Hakikatnya, ikhtilat akan menjuruskan pelakunya kepada lembah penzinaan dan membawa kepada tercalarnya maruah seseorang.



Dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, aurat lelaki ialah antara pusat dengan lutut, ini termasuk lelaki antara lelaki dan perempuan antara perempuan. Berbeza pula dengan aurat perempuan dengan lelaki ajnabi. Auratnya ialah semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan sahaja. Jadi, adakah kita benar-benar sudah menutup aurat kita dengan sempurna?

"Ku RELA stokin kakiku BASAH terkena air yang melimpah daripada TERKENA PERCIKAN API NERAKA.. Ku RELA berpanas memakai jubah MENUTUP segala aurat yang ku JAGA daripada ku berendam dalam LAUTAN NERAKA.. Ku RELA rambutku disimpan RAPI terpelihara juga TUDUNGku labuh ke bawah dada daripada GANTUNG rambutku sehingga MENDIDIH OTAK derita.."

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman ;

 وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ
..dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..
(Surah An-Nur : Ayat 31)


Perempuan muslimah yang sopan, berbeza pakaian mereka dari perempuan-perempuan yang lain. Dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

*Dipetik daripada Al-Marjan SMAP Labu (29 September 2012)

~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Selasa, 1 Januari 2013

::Tahun 2013 : Azam Baru::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Tepat jam berdetik 12.00 a.m. hari ini menunjukkan tahun baru 2013 telah tiba. Apa khabar wahai pembaca sekalian ? Sihat semuanya? Alhamdulillah. Keadaan kita yang sejahtera ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala, Tuhan Yang Maha Esa masih sayangkan kita. Dia masih ingin lihat kita jejak di muka bumiNya dengan senantiasa mengingatiNya tanpa putus. Oleh itu, marilah sama-sama kita memanjatkan seinfiniti kesyukuran kita kepadaNya tanpa henti atas segala nikmat pemberianNya.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala :


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim : Ayat 7)

Tahun 2012 dah berlalu. Apa cerita 2012? Apa yang kita dah buat sepanjang tahun ni? Tak ingat?
Hmmm.. Takpe.
Kita guna kaedah Q&A yakni Question & Answer pada diri kita sendiri.
*dsd. = dan sewaktu dengannya.

Apa yang kita dah buat dengan TANGAN KITA?
A) Amal soleh. (Bersedekah, bantu orang lain, pegang Al-Quran dsd.)
B) Maksiat. (Mencuri, pegang tangan bukan mahram, membunuh dsd.)

Apa yang kita dah buat dengan TELINGA KITA?

A) Amal soleh. (Dengar bacaan Al-Quran, dengar ilmu bermanfaat, dengar nasihat dsd.)
B) Maksiat. (Dengar perkataan kasar, dengar ayat-ayat yang merosakkan jiwa, dengar perkara-perkara lagha dsd.)

Apa yang kita dah buat dengan MATA KITA?

A) Amal soleh. (Lihat Al-Quran, tengok keindahan alam, lihat orang-orang soleh dsd.)
B) Maksiat. (Lihat orang dedah aurat, tengok rancangan merosakkan jiwa, lihat perkara meransang nafsu dsd.)


Apa yang kita dah buat dengan KAKI KITA?

A) Amal soleh. (Jalan ke majlis ilmu, jalan ke masjid, bersujud kepada Allah dsd.)
B) Maksiat. (Jalan ke kelab malam, jalan bertujuan maksiat, membuli dsd.)



Apa yang kita dah buat dengan MULUT KITA?

A) Amal soleh. (Bercakap perkara benar, memberi nasihat, sampaikan ilmu dsd.)
B) Maksiat. (Berbohong dalam berkata-kata, ajak orang buat dosa, mengumpat dsd.)

Haaa.. Jawapan anda yang mana? A ke B?
Kalau A, alhamdulillah. Anda memang benar-benar memanfaatkan hidup anda sebagai hambaNya.
Kalau B, astaghfirullah. Kembalilah ke jalanNya yang sememangnya tak akan sesat selama mana anda mengikutinya.


Insaf dan segeralah pandu diri kita ke arah ajaran yang benar tanpa rasa ragu-ragu. Taubat juga perlu seiring dan sejalan bak lagu Melayu zaman dulu (Err.. Saya tak ingat. Maaf ye) dengan amal kebaikan yang tiada putus.

Ingatlah, Allah tidak pernah jemu mendengar aduan-aduan hambaNya  kerana dia tahu bahawa manusia ciptaaNya sendiri memang tak akan lari daripada melakukan kesilapan. Dalam pada itu, Dia ingin melihat dan menguji, adakah hambaNa senantiasa bergantung harap kepadaNya.

Sebuah hadith Rasulullah ada menyebut tentang perkara tersebut, iaitu ;


Dari Abu Musa r.a, dari nabi s.a.w katanya:”Allah Azza wa Jalla membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah siang hari, dan membentangkan tangan-Nya siang hari untuk menerima taubat orang yang bersalah malam hari sehingga matahari terbit di Barat.”
(Muslim)

Ayuh hai teman, mari kita sama-sama refleksi diri bagi menjamin kehidupan yang bahagia pada masa akan datang. Kalau tak dapat bahagia di dunia pun, biarlah kita bahagia selama-lamanya di akhirat kelak.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ