Just want to tell everyone that ISLAM IS THE REAL WAY OF LIFE

Ahad, 30 Disember 2012

::10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
1. Bangunlah sembahyang apabila saudara mendengar azan, walau bagaimana keadaan sekali pun.
2. Bacalah Al-Quran atau tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik, ataupun amalkan zikrullah dan jangan saudara menggunakan masa untuk perkara yang tidak berfaedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana ia adalah syiar Islam.
4. Jangan banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran kosong tidak akan memberi apa-apa faedah .
5. Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana para pejuang tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana ianya sia-sia malah menyakiti hati orang lain.
8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang yang mengecam pertubuhan-pertubuhan dan janganlah berkata-kata melainkan yang memberi kebaikan.
9. Berkenal-kenallah dengan saudara Muslim yang saudara bertemu dengannya sekalipun dia tidak meminta untuk berkenalan kerana asas dakwah adalah perkenalan dan berkasih-sayang.
10. Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada. Oleh itu, bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas tersendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya.


*Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, sila klik sini.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Jumaat, 26 Oktober 2012

::10 Zulhijjah : Sejarah Korban Tercipta::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Bila kita sebut tentang raya Eiduladha, terlintas dalam fikiran kita mengenai korban. 
Bila sebut tentang korban, kita mula fikir tentang lembu, kambing dan sebagainya yang menjadi haiwan sembelihan pada hari tersebut. Bila sebut tentang sembelih binatang al-an'am (seperti kambing, lembu, unta dll.), kita akan ingat kita boleh makan daging-daging tersebut.




Wah, best beraya Eiduladha kan. Dapat makan daging korban. Kenyang perut senang hati. Tapi, dalam pada kita seronok makan daging korban, kita perlu ingat bahawa pensyariatan korban ini bermula dari zaman Nabi Ibrahim 'Alaihissalam lagi.




Hmmm.. Apa kata kita luangkan masa sikit untuk kita renungkan sama-sama tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dan anaknya, Nabi Ismail 'Alaihissalam yang tabah dan sabar dalam mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala.


--------------------------------------


Suatu hari, ketika Nabi Ibrahim a.s. berada di Mekah sedang dalam keadaan tertidur. Dia mendengar suara daripada Allah s.w.t. yang memerintahkannya agar dia menyembelih anaknya, Ismail. Nabi Ibrahim a.s. bangun daripada tidurnya dalam keadaan terkejut dengan mimpinya yang aneh itu. Nabi Ibrahim a.s. meminta keampunan dan perlindungan kepada Allah s.w.t. Dia kembali tidur. Mimpi yang seperti awalnya terjadi lagi. Dia bangun lagi dan tidur lagi. Akan tetapi, mimpinya masih tetap sama.

Nabi Ibrahim a.s. mengetahui bahawa perintah tersebut merupakan ujian yang harus dia jalani. Amat berat bagi Ibrahim a.s. untuk memberitahu isi wahyu itu kepada Ismail. Ismail pada saat itu menginjak dewasa dan boleh mencari nafkahnya sendiri. Nabi Ibrahim a.s. sangat senang kerana Ismail sudah besar. Nabi Ibrahim a.s. memberitahu perintah Allah s.w.t. tersebut kepada Ismail.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim a.s. berkata, 'Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu. Maka fikirkanlah apa pendapat kamu!' Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t. kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'"
(Ash-Saffat: 102)


Ketika Nabi Ibrahim a.s. hendak pergi melaksanakan penyembelihan puteranya itu, beliau berkata kepada Siti Hajar, ibu Ismail a.s.: "Tolong kamu pakaikan anak kamu Ismail pakaian yang paling baik dan cantik kerana aku akan pergi berziarah dengannya."

Siti Hajar memakaikan pakaian yang paling cantik kepada Ismail, memberinya minyak rambut, lalu menyisir rambutnya. Kemudian, Nabi Ibrahim a.s. pergi bersama Ismail dekat dengan kota Mina. Dia juga membawa tali dan pisau yang tajam. Waktu itulah, iblis terkutuk datang menggoda Nabi Ibrahim a.s. Mereka tidak pernah sesibuk seperti hari itu. Menyaksikan perkara itu, Ismail ketakutan dan berlari ke hadapan ayahnya.

Iblis lalu berkata: "Apakah kamu tidak memerhatikan badannya yang gagah, parasnya yang tampan dan perilakunya yang santun?"

Nabi Ibrahim a.s. menjawab: "Ya, tetapi aku telah diperintah oleh Tuhanku untuk menyembelihnya."

Apabila iblis terkutuk itu putus asa kerana tidak dapat menggoda Nabi Ibrahim a.s., dia pun pergi menemui Siti Hajar dan berkata: "Bagaimana boleh kamu hanya duduk-duduk sahaja, sedangkan Ibrahim pergi dengan anak kamu dan hendak menyembelih anak kamu?"

Siti Hajar menjawab: "Jangan berdusta! Aku tahu seorang ayah tidak akan sanggup menyembelih anaknya sendiri!"

Iblis berkata: "Suami kamu membawa pergi anak kamu sambil membawa tali dan pisau. Dia mengira Tuhannya telah menyuruhnya untuk itu."

Siti Hajar mengelak: "Nabi tidak diperintahkan untuk mengerjakan sesuatu yang sia-sia. Tapi, jika memang Allah s.w.t. telah memerintahkan perkara itu, aku sendiri bersedia untuk menurut perintah itu dengan jiwaku. Bukan hanya jiwa, malah anakku rela kukorbankan demi Allah s.w.t.!"

Apabila iblis terkutuk berputus asa kerana tidak boleh memujuk Siti Hajar, maka dia pergi menemui Ismail seraya berkata: "Hai Ismail, kamu nampak bersenang-senang, sedangkan saat ini ayah kamu membawa tali dan pisau untuk menyembelih kamu."

"Jangan berdusta, hai iblis. Mengapa ayahku hendak menyembelihku?" tanya Ismail.

"Dia mengira bahawa Tuhannya telah menyuruhnya demikian."

"Aku memerhatikan dan mentaati perintah Tuhanku!" tegas Ismail

Ketika iblis yang terkutuk itu melontarkan kata-kata yang lain, terlebih dahulu Ismail a.s. mengambil batu dan tanah lalu melemparkannya kepada iblis sehingga menyebabkan mata iblis yang kiri pecah dan menjadi buta. Setelah itu, barulah iblis pergi. Peristiwa inilah yang melatarbelakangi perintah Allah s.w.t.yang mewajibkan umat Islam untuk melemparkan batu di tempat itu untuk mengusir syaitan seperti yang dilakukan oleh Nabi Ismail.

Apabila Nabi Ibrahim a.s. sampai di Mina, beliau berkata kepada Nabi Ismail: "Anakku, aku mendengar dalam mimpiku bahawa Allah s.w.t. telah memerintahkanku untuk menyembelih kamu. Bagaimana pendapat kamu?"

Maksud daripada pertanyaan Nabi Ibrahim a.s. adalah dia meminta pendapat Nabi Ismail tentang perintah dalam mimpinya itu. Adakah Ismail akan tabah dan sabar menerima perintah Allah s.w.t. itu, atau Ismail akan menolaknya dan meminta ampun kepada Allah s.w.t. sebelum perintah itu dilaksanakan. Sekaligus sebagai ujian adakah Ismail akan menjawab dengan penuh perhatian dan taat kepada perintah Allah s.w.t. atau tidak.

Lalu Ismail menjawab: "Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang Allah s.w.t. perintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t., ayah akan mendapatkan aku sebagai orang yang sabar dalam menjalankan perintah Allah s.w.t."

Apabila Nabi Ibrahim a.s. mendengar jawapan dari puteranya itu, beliau tahu bahawa doanya telah dikabulkan oleh Allah s.w.t. iaitu: "Rabbi hablii minash solihiin. (Ya Tuhanku, berikanlah aku anak yang soleh)." Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun mengucapkan pujian dan syukur serta berterima kasih kepada Allah s.w.t.

Kemudian Ismail berkata: "Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesanan kepada ayah! Hendaklah ayah mengikat tanganku agar aku tidak dapat bergerak-gerak kerana mungkin aku akan menyakiti ayah. Hadapkan wajahku ke tanah agar ayah tidak dapat melihat wajahku dan berasa kasihan kepadaku. Hendaklah ayah melipat kain ayah agar tidak dilumuri darah meskipun sedikit sehingga mengurangkan pahalaku dan diketahui oleh ibu hingga dia menjadi sedih. Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah dan mempercepatkan sembelihannya di atas leherku agar aku tidak merasa terlalu sakit kerana sesungguhnya mati itu sakit sekali.

Hendaklah ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai kenang-kenangan dariku, serta sampaikan salam hormatku kepadanya dan katakan; Bersabarlah engkau menerima perintah Allah s.w.t. dan jangan beritahu kepadanya bahawa ayah telah menyembelih aku dengan mengikat tanganku. Jangan pula ayah memasukkan anak-anak ke rumah ibu, agar kesedihannya tidak terlalu lama. Begitu juga ayah, janganlah kamu melihat anak seusiaku kerana nanti ayah akan menyesal dan bersedih terhadapku."

Mendengar permintaan anaknya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: "Sebaik-baik penolong adalah kamu, wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t."

Kemudian kedua-duanya bersiap untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. Nabi Ibrahim a.s. sendiri yang akan membaringkan Nabi Ismail seperti membaringkan kambiing yang akan disembelih. Ada juga yang mengisahkan Nabi Ibrahim a.s. menelungkupkan wajah Ismail dengan syarat agar tidak melihat sesuatu yang akan menimbulkan kasih sayangnya sehingga dapat menghalangnya daripada melaksanakan perintah Allah s.w.t. Kejadian itu terjadi di suatu sisi seketul batu besar yang terletak di Mina.

Ada yang mengisahkan kejadian itu berlaku di suatu tempat di Mina. Ketika Nabi Ibrahim a.s. meletakkan pisaunya pada leher Ismail a.s., beliau pun berusaha memotong dengan kuat sekali, tetapi sekuat manapun dia mencuba, dia tidak mampu untuk memutuskan leher anaknya itu.

Sesungguhnya ketika kejadian itu berlaku, Allah s.w.t. telah membuka tutup mata para malaikat yang ada di langit dan di laut. Ketika melihat Nabi Ibrahim a.s. telah menyembelih puteranya Ismail, mereka tersungkur bersujud kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman: "Perhatikan oleh kamu sekalian tentang hamba-Ku ini, bagaimana dia meletakkan pisau di atas leher puteranya untuk mengharapkan keredhaan-Ku, sedangkan kamu dahulu telah menyatakan sesuatu ketika Aku berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikan di bumi ini seorang khalifah." Kamu berkata: "Apakah Engkau menciptakan orang yang akan berbuat kerosakan di bumi dan akan menumpahkan darah, sedangkan kami semua maha sucikan Engkau?"

Kemudian Ismail berkata lagi: " Wahai ayahku, lepaskanlah ikatan tali di tangan dan kakiku agar Allah s.w.t. tidak memandang aku sebagai orang yang terpaksa mentaati perintah-Nya. Kemudian letakkan pisau itu di leherku agar malaikat-malaikat tahu bahawa putera Ibrahim a.s. telah mentaati perintah Allah s.w.t. dengan ikhtiar (pilihan sendiri dan secara sukarela)."

Lalu, Nabi Ibrahim pun menelentangkan kedua-dua tangan Ismail dan kedua kakinya yang tanpa ikatan serta memalingkan wajahnya ke tanah lalu menekankan pisau dengan sekuat tenaganya. Namun dengan izin Allah s.w.t., ternyata pisau itu tidak boleh memotong leher Ismail.

Melihat kejadian itu, Ismail berkata: "Wahai ayahku, kekuatan kamu menjadi lemah kerana kamu masih menyimpan cinta kamu untukku. Oleh kerana itulah, kamu tidak boleh menyembelih aku."

Lalu Nabi Ibrahim a.s. memukulkan pisau itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua.

Kemudian Ibrahim a.s. berkata: "Hai pisau, engkau mampu membelah batu itu, tetapi mengapa engkau tidak mampu memotong leher anakku?"

Dengan izin Allah s.w.t., pisau itu dapat berbicara dan menjawab: "Wahai Nabi Allah Ibrahim, kamu memang mengatakan "Potonglah!" kepadaku, sedangkan Tuhan penyeru alam sekalian juga berfirman: "Jangan kamu potong!" Maka bagaimana mungkin aku mentaati kamu, sedangkan aku harus menderhakai Tuhanku dan Tuhan kamu?"

Kemudian Allah s.w.t. berfirman: "Dan kami menyeru: "Hai Ibrahim, sungguh kamu telah membenarkan mimpi kamu. Daripada semua yang kamu lakukan, Aku boleh melihat bahawa kamu bersungguh-sungguh telah memilih keredhaan-Ku daripada kecintaan kamu terhadap anak kamu. Oleh sebab itulah, kamu termasuk golongan orang-orang yang taat kepada perintah-Ku. Sesungguhnya ujian ini merupakan ujian yang nyata. Penyembelihan itu adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang ikhlas dan yang tidak ikhlas dan merupakan ujian yang sangat sukar kerana tidak ada yang sesukar ujian ini."

"Maka, Kami selamatkan orang yang diperintahkan menyembelih dengan sembelihan yang besar daripada syurga, iaitu kambing kibas yang dahulu telah dikorbankan oleh Habil yang telah diterima darinya. Korban (kambing) itu tetap berada di syurga sehingga Ismail ditebus (ditukar) dengan kambing itu. Oleh sebab itulah, Kami perintahkan kepada Jibril untuk membawa kambing kibas itu ketika terakhir kali engkau meletakkan pisau kamu kepada leher Ismail."

Malaikat Jibril lalu berseru untuk mengagungkan Allah s.w.t. dan merasa takjub (kagum) menyaksikan perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sambil berucap: "Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar."

Lalu Nabi Ibrahim a.s. membalas ucapan Jibril dengan ucapan: "La ilaaha illallaahu Allahu Akbar."

Begitu juga Ismail, dia menyambutnya dengan ucapan: "Allahu akbar wa lillahil hamdu."

Kemudian Allah s.w.t. memuliakan ucapan itu lalu mewajibkan umat Islam untuk mengucapkannya pada hari raya Aidil Adha untuk mengikut jejak Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya, Nabi Ismail yang sentiasa redha dan taat dalam menjalankan perintah Allah s.w.t.

--------------------------------------

Jadi, macam mana? Terharu tak? Hebat tak hebat Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Seharusnya pengorbanan seperti ini yang patut kita contohi, barulah kita boleh jadi Muslim yang hebat.


Akhirulkalam daripada ana,

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDULADHA. MAAF ZAHIR DAN BATIN.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Sabtu, 18 Ogos 2012

::Ramadhan 1433H Berlalu, Syawal 1433H Menjelma::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Ramadhan 1433H sudah sampai ke penghujungnya.
Hmmm.. Ramadhan apa cerita? Cer cita..
Apa? Baik? Syok? Best?
Wah, bagusnya.
Apa yang baik, syok, best tu?
Melepak? Membazir masa? Buat maksiat?
Hmmm.. Macam tak baik, syok, best je bunyinya tu.
Baca Al-Quran? Zikrullah? Sedekah?
Wah, hebat.

Sebelum kita melangkah ke bulan yang mengingatkan kita untuk kembali kepada fitrah kita sebagai seorang manusia, mari sama-sama kita buat refleksi diri.

Tanyakan beberapa soalan kepada diri masing-masing tentang amalan sepanjang bulan Ramadhan :
1) Banyak buat amalan-amalan sunat?
2) Tuntutan fardhu ada tinggal?
3) Ada buat dosa sepanjang Ramadhan 1433H berlalu?
4) Berjayakah aku menjadi 'graduan' Ramadhan yang cemerlang?
5) Dah cukup banyak pahala yang aku peroleh untuk 'support' kehidupan di akhirat kelak?

Renung-renungkanlah.
Pejam celik - pejam celik, Syawal 1433H bakal kita raikan bersama.
Satu hadith yang disabdakan oleh Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam yang berkaitan dengan hari raya iaitu ;

Dari Abu Bakrah r.a bahawa Nabi saw. bersabda: “Dua bulan yang terdapat hari raya, harinya tidak berkurang; hari raya Ramadhan dan bulan Zulhijah”.
(Muslim)

Kita perlu faham beberapa perkara mengenai hari raya ini. Antaranya,
1. Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat yang diadakan pada sebelah pagi di mana kita disunatkan juga untuk pergi dan balik daripada mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri dengan melalui jalan yang berlainan.
2. Berdasarkan sunnah Rasulullah SAW, perayaan Hari raya Aidil Fitri hanya disambut selama 1 hari sahaja, berbanding dengan perayaan hari raya Aidil Adha yang disambut selama tiga hari.

Pada malam pertama Hari Raya Eidulfitri, Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam menggalakkan kita satu amalan yang sangat dituntut dan kita semua pun sudah sedia maklum iaitu TAKBIRULLAH.


Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Hiasilah hari-hari raya kamu dengan bertakbir.”
(At-Tabrani)

Ini menunjukkan bahawa :
1. Umat Islam digalakkan menyambut hari raya Aidil Fitri dengan bertakbir beramai-ramai, di masjid-masjid atau di surau-surau bagi menandakan kesyukuran kepada Allah SWT setelah berjaya berpuasa selama sebulan.
2. Di hari yang mulia ini juga umat Islam hendaklah bermaaf -maafan antara satu sama lain dan kunjung mengunjung bagi perapatkan hubungan silatul rahim sesama Islam.

كل عام وأنتم بخير وعيد الفطر مبارك Apabila cerita tentang hari lebaran semua orang akan rasa seronok. Sama juga seperti Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam yang turut meraikan kedatangan Syawal seperti kita sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadith iaitu,

Dari Aisyah r.a katanya:”Abu Bakar datang ke rumahku, dan ketika itu di rumahku ada dua orang gadis Ansar sedang menyanyikan lagu yang pernah dinyanyikan orang dalam peperangan Bu’ats. Dan keduanya bukanlah gadis penyanyi yang sesungguhnya. Maka berkata Abu Bakar:”Kenapa sampai ada seruling syaitan di rumah Rasulullah s.a.w ?” Hari itu adalah hari’Id. Maka bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Abu Bakar! Setiap kaum mempunyai hari raya (‘Id) dan hari ini adalah hari raya kita.”
(Muslim)

Banyak amalan yang kita boleh buat apabila tibanya bulan Syawal ini. Antaranya,
1) Bertakbir.
2) Sentiasa bersama dengan amalan yang baik.
3) Ziarah-menziarahi rumah saudara sesama Islam.
4) Menunaikan solat sunat Eidulfitri pada pagi pertama Syawal.

Harapnya tiada jugalah amalan-amalan yang tidak bersesuai ketika menyambut hari raya Eidulfitri seperti
1) Membazir.
2) Hiburan yang tidak bersesuaian seperti pesta menari, minum arak, berzina dan sebagainya.
3) Melakukan maksiat.

Akhirulkalam daripada ana,

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDULFTRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Sabtu, 21 Julai 2012

::Ramadhan : Madrasah Tarbiyah::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
رمضان المبارك  كريم 
Ramadhan, madrasah tarbiyah? Ramadhan itu sekolah ke? Hehehe.. Jangan salah faham. Madrasah yang ana maksudkan di sini adalah tempat kita mendidik diri kita supaya kita menjadi manusia yang lebih sempurna. 

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, kewajipan puasa telah dinyatakan oleh Allah Subahanahu Wata'ala dalam kalam sucinya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَىالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah 2:183)


Kalau tanya maksud puasa, semua orang tahu menjawabnya, iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar (Subuh) sehingga terbenamnya matahari (Maghrib) dan disertakan dengan niat.

Gambar yang anda dapat lihat di atas adalah beberapa tatatertib yang perlu kita patuhi dalam kita menjalani ibadah puasa. Antaranya adalah,
- Tidak membazir masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
- Menjaga pandangan.
- Mempelajari ilmu agama.
- Membaca dan mempelajari Al-Quran.
- Solat fardhu pada awal waktu.

Banyak juga sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam yang kita boleh amalkan untuk menghidupkan lagi bulan yang penuh barakah ini seperti :
- Qiamullail.
- Solat tarawih.
- Iktikaf di masjid/surau.
- Bersedekah.
- Senyum dan salam.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
(H.R. Al-Bukhari dan Muslim)


Jangan kita rasakan buat ibadah banyak-banyak sepanjang bulan Ramadhan adalah perkara yang meletihkan anggota tubuh badan dan sia-sia. Ini kerana ganjaran yang berlipat ganda akan diberikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah-ibadah tersebut.

Sebuah hadith yang telah disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wassallam berkaitan dengan kelebihan orang yang berpuasa dengan bersungguh-sungguh;

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.”

(Bukhari & Muslim)


Sangat beruntunglah bagi orang yang bergelar muslim dan mu'min. Kenapa? Mana tak nya. Sepanjang bulan puasa ini, syaitan akan diikat, pintu syurga seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Inilah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan oleh mereka kerana 30 hari yang hanya dijumpai setahun sekali ini adalah jalan alternatif bagi kita untuk memperoleh pahala sebanyak mungkin yang akan menjadi bekalan untuk menuju ke syurga dengan mudah.

Ganjaran yang diperoleh sekiranya beramal sepanjang Ramadhan juga disebutkan dalam sebuah hadith;

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau busuk.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)


Semua orang inginkan syurga pada penghujung kehidupannya. Tapi, Allah bagi kelebihan kepada orang yang menganuti agama yang disukaiNya iaitu Islam supaya semua umat manusia sedar bahawa hanya agama Islam adalah agama yang paling sempurna dari seluruh aspek kehidupan seorang khalifah di muka bumi ini.

Biar kita berletih-letih di dunia kerana kebaikan yang kita telah lakukan, asalkan kita boleh hidup senang-lenang di akhirat nanti.


SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA SEPANJANG BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Ahad, 3 Jun 2012

::Sahabat::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Wahai kawan taulan rakan teman 
sahabat rafiq (رفيق) khalil (خليل) /shadiq (صادق) shahib (صاحب) zamil (زامل).....

Wah, banyak juga ya panggilan yang ana boleh gunakan untuk panggil anda semua. Itulah keunikan Bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita dan Bahasa Arab yang merupakan bahasa Al-Quran, bahasa Syurga, bahasa yang Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam gunakan dan sebagainya.


Dalam Bahasa Melayu, terdapat istilah berbeza untuk kawan. Mungkin seseorang itu mempunyai ramai kawan, tetapi antara kawan-kawan tersebut siapa yang menjadi sahabat? Sahabat itu mungkin lebih rapat hubungannya dan kawan pula lebih umum dalam sebuah perhubungan.

Bagaimana masyarakat Melayu menggunakan istilah ini?
(Rujukan:Kamus Dewan)

Kawan ~ Seorang yang ada bersama-sama pergaulan sehari-hari.
Taulan ~ Kawan, teman, sahabat, rakan dan handai.
Rakan ~ Seseorang yang berada dalam sama persatuan, sepermainan atau sekerja.
Teman ~ Seseorang yang bersama-sama melakukan sesuatu, perbualan dan bermain.
Sahabat ~ Teman dan kenalan. Pengikut Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam.

Mari jelajahi istilah yang digunakan dalam Bahasa Arab pula!
(Rujukan:Mu'jam Al-Wasit)

Rafiq (رفيق) ~ Teman yang lemah lembut. Situasi : Seorang teman yang dalam dirinya ada sifat lemah lembut dalam persahabatan.
Khalil (خليل) ~ Sahabat setia dan pemberi nasihat. Situasi : Sahabat yang selalu ada untuk memberi nasihat dan setia bersama-sama dengan sahabatnya yang lain.
Shadiq (صادق) ~ Sahabat yang benar dan disayangi. Situasi : Sahabat yang sentiasa membenarkan sahabat lainnya dan turut menegur kesalahannya.
Shahib (صاحب) ~ Pemilik bagi sesuatu. Situasi : Tuan punya bagi sesuatu. Namun, istilah shahabi (صحابي) (jama':sahabat/صحابة) digunakan untuk mereka yang bertemu Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam.
Zamil (زامل) ~ Kawan. Situasi : Kawan biasa yang bersama-sama di sekolah, tempat kerja atau tempat umum.

Berdasarkan penerangan di atas, panggilan yang manakah yang anda ingin gunakan untuk menegur kawan-kawan anda? 


Tidak menjadi masalah untuk menggunakan yang mana-mana pun, asalkan ia tidaklah menyakiti hati sahabat anda serta melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Peringatan ini telah dinyatakan dalam Al-Quran :

وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
...dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
(Al-Hujurat,49:11)

*Dipetik daripada Majalah Gen-Q (Isu 08).


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

Sabtu, 17 Mac 2012

::Pilihan Anda : Syurga Atau Neraka::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Best kan buat ibadah/kebaikan?
Allah sentiasa lindung kita. Hati pun jadi tenang. Dapat pahala. Last sekali masuk SYURGA.


Seronok kan buat maksiat/keburukan?
Syaitan duduk di sekeliling. Dapat puaskan nafsu. Dapat dosa. Last sekali masuk NERAKA. 



 

Yang mana anda pilih? Nak buat IBADAH ke MAKSIAT?




IBADAH -----> PAHALA -------> SYURGA
MAKSIAT ---->  DOSA  -------> NERAKA


Jika anda seorang yang senantiasa inginkan keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, anda akan terus-menerus tanpa henti melakukan ibadah kepadanya dengan ikhlas dan senantiasa mengharapkan balasan yang baik daripadaNya. Namun, sekiranya anda merupakan seorang yang suka dan lalai dengan keseronokan dunia, anda tidak akan ingat Tuhan dan anda akan terus-menerus melakukan maksiat tanpa ada rasa malu pada Tuhan.


Ingatlah, sesungguhnya Allah telah berfirman dalam Al-Quran ;


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(At-Tahriim 66:6)


Inginkan syurga? Anda dijemput ke dunia untuk buat ibadah banyak-banyak.
Inginkan neraka? Anda dipersilakan ke dunia untuk buat maksiat sepuas-puasnya.


Semuanya pilhan anda. Pilihlah yang terbaik untuk anda dan orang-orang yang anda sayangi.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ

Selasa, 24 Januari 2012

::Puaskan Hati Anda Sahaja?::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول الكلامي
Setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu, setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap saat..
Akan ada sahaja agenda yang ingin dilaksanakan oleh setiap manusia di muka bumi Allah Subhanahu Wata'ala ini, tidak mengira masa sama ada pagi, petang mahupun malam. Mereka cuba untuk memanfaatkan segala masa yang ada untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.


Alhamdulillah. Itu satu perkara yang bagus dan harus diteruskan agar ia dijadikan amalan. Ia juga perlu diwarisi oleh generasi masa akan datang supaya kehidupan berjalan dengan baik dan lancar




Tetapi,
Ana ada soalan untuk semua pembaca.

Adakah segala perbuatan anda itu hanya dapat memuaskan hati anda sedangkan yang lain itu anda membiarkan mereka begitu sahaja tanpa memikirkan perasaan mereka?

Kita perlu ketahui bahawa setiap manusia mempunyai perasaan dalaman yang berbeza-beza. Ada yang mudah terasa, ada pula yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Jika seorang manusia yang mudah terasa, hubungan persahabatannya kebanyakannya bermasalah, manakala jika seorang manusia yang mudah memaafkan kesalahan orang lain pula, hubungan persahabatannya akan sentiasa terbina dan kukuh.


Allah Subahanhu Wata'ala ada berfirman dalam Al-Quran ;


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Al-Hujuraat 49:10)





Yang paling penting,

Adakah segala perbuatan yang anda lakukan sepanjang hidup anda menepati cita rasa ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA dan rasulNya, MUHAMMAD SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM?


Ini sepatutnya yang kita perlu dahulukan. Sebelum kita lakukan sesuatu kerja, kita perlu pastikan bahawa segala perbuatan kita itu dilakukan dengan ikhlas serta berlandaskan dengan syariat Islam. Untuk memastikan bahawa kita menepati cita rasa Allah dan rasulNya, Nabi Muhammad, ada satu sahaja jalan yang terbaik iaitu TAQWA yang bermaksud takut kepada Allah dengan mematuhi segala perintahNya serta meningggalkan segala laranganNya. Mulianya orang bertaqwa sepertimana yang telah disebut oleh Allah dalam Al-Quran ;


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Al-Hujuraat 49:13)

Dah berjaya penuhi segala kemahuan Allah Subhanahu Wata'ala, Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam dan umat manusia yang lain?

Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah.




~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ