Just want to tell everyone that ISLAM IS THE REAL WAY OF LIFE

Isnin, 14 Januari 2013

::Kewajipan Menyintai Rasulullah::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Memandangkan bulan kelahiran manusia teragung yakni Rasul Allah, Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam telah tiba buat tahun 1434H, jadi eloklah kita sama-sama mengingati akan kewajipan kita untuk menyintai Baginda sebagai tanda kita patuh pada perintah Allah.


Al-Quran menjelaskan kewajipan menyintai Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala ;


قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Ali-'Imran : Ayat 31)


Berdasarkan ayat di atas, syarat untuk dikasihi Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat pengampunan daripadaNya hendaklah menyintai Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam serta mengikut ajaran yang disampaikan oleh Baginda dengan sepenuhnya. Janganlah sekali-kali menidakkan ajaran Baginda, sama ada yang berupa suruhan mahu pun larangan.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala ;

 وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
(Surah Al-Hasyr : Ayat 7)

Menyintai Allah dan Rasul hendaklah diutamakan daripada perasaan cinta dan kasih kepada yang lain. Allah Subhanahu Wata'ala menegaskan dalam firmanNya ;

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(Surah At-Taubah : Ayat 24)


Justeru, mereka yang lebih mengutamakan perasaan cinta kepada bapa, cinta kepada anak, isteri, keluarga, harta, perniagaan dan tempat tinggal (rumah) melebihi cinta kepada Allah dan RasulNya, golongan ini bakal mendapat seksaan Allah sama ada cepat atau lambat, di dunia mahupun di akhirat. Kesimpulannya, antara kepentingan agama dan kepentingan dunia maka hendaklah diutamakan kepentingan agama daripada segala-galanya.

Memupuk perasaan cinta kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam hendaklah bermula dari kanak-kanak. Pesan Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam kepada ibu bapa ;

Ajarilah anak-anak kamu tiga perkara, mencintai Nabi kamu, mencintai ahli keluarga Baginda dan membaca Al-Quran, kerana penghafal Al-Quran kelak akan dilindungi Allah pada hari tiadanya lindungan selain lindunganNya bersama-sama Nabi-NabiNya dan kekasih-kekasihNya.
(Hadith riwayat Abu Nasr Abdul Karim Asy-Syirazi di dalam Fawaied dan Ibnu Najjar daripada Ali Radhiallahu 'anhu)



~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

0 comments:

Catat Ulasan