Just want to tell everyone that ISLAM IS THE REAL WAY OF LIFE

Jumaat, 18 Januari 2013

::Mentaati Rasulullah S.A.W.::

Menyintai Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bukanlah hanya dengan slogan dan kata-kata laungan semata-mata, namun hendaklah dibuktikan dengan mentaati segala ajaran yang disampaikan oleh Baginda.

Kewajipan mentaati Baginda Sallallahu 'alaihi Wasallam dijelaskan melalui firman Allah Subhanahu Wata'ala ;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
(Surah An-Nisa' : Ayat 59)

Maksud mentaati Allah dalam ayat di atas ialah mengamalkan isi kandungan Al-Quran, manakala maksud mentaati Rasul pula ialah menjadikan segala ajaran Baginda yang berupa hadith dan sunnah sebagai panduan. Sedangkan mentaati Ulil-Amri bererti mematuhi pemimpin yang mengetuai urusan kaum muslimin selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam yang telah ditetapkan oleh Allah.

FirmanNya lagi ;

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا
Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).
(Surah An-Nisa' : Ayat 80)


Ayat ini menegaskan, bahawa tunduk dan patuh kepada setiap perintah Rasul yang berupa peraturan dan syariat bererti tunduk dan patuh kepada perintah Allah Subhanahu Wata'ala, sebaliknya, mengingkari Rasul bererti mengingkari Allah kerana pada hakikatnya yang memerintah dan yang menegah itu sebenarnya Allah.

Setiap syariat dan peraturan Allah yang disampaikan kepada umatnya, bukan direka-reka atau dicipta menurut kehendak dan nafsu Baginda. Firman Allah Subhanahu Wata'ala ;

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ
Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
(Surah An-Najm : Ayat 3-4)


Kelebihan mentaati Allah dan Rasul dinyatakan dalam Al-Quran,

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).
(Surah An-Nisa' : Ayat 69)


Menurut Aisyah riwayat At-Tabrani dan Ibnu Mardawaih dari Saidatina Aisyah Radhiallahu 'anha berkata ;

Seorang lelaki telah mendatangi Nabi S.A.W. lalu berkata : "Ya Rasulullah, sesungguhnya tuanlah yang sangat saya kasihi melebihi dari diri sendiri dan juga anak saya. Sekiranya saya mengingat-ingat tuan di rumah, tidak tertahan rasanya bertemu dan melihat tuan. Dan jika teringat kematian dan kewafatan tuan nanti, sedarlah saya kalau tuan memasuki syurga saya takut tidak dapat lagi melihat tuan."

Tidak lama selepas itu turunlah ayat di atas di mana Tuhan menjanjikan kepada orang-orang yang mentaati Allah dan juga Rasul, mereka bakal mendiami syurga bersama para Anbiya', orang-orang Siddiqiin, para syuhada' dan juga orang-orang yang soleh di akhirat kelak.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ 

0 comments:

Catat Ulasan