Just want to tell everyone that ISLAM IS THE REAL WAY OF LIFE

Ahad, 25 Disember 2011

::Sudahkah Anda Menutup Aurat?::

. بسم الله الرحمن الرحيم ، أول كلامي
Allah Subhanahu Wata'ala sangat sayang akan hambaNya. Sebab itulah, Dia menciptakan manusia dalam keadaan yang sangat sempurna berbanding dengan makhluk-makhluk lain yang diciptakanNya. Namun begitu, Allah Subhanahu Wata'ala ada menetapkan syarat-syarat untuk menggunakan elemen-elemen yang ada pada tubuh badan manusia. Antaranya adalah menutup aurat.

Perkara ini telah ditegaskan dalam Al-Quran ;


يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). 
(Al-A'raaf 7:26)

Oleh itu, setiap manusia wajib menutup aurat. Aurat itu apa? Pengertian aurat menurut bahasa adalah keaiban. Manakala menurut pandangan atau pengertian syarak ialah bahagian-bahagian tertentu yang ada pada badan manusia yang wajib ditutupi daripada pandangan orang yang diharamkan untuk melihatnya (bukan mahram).

Bahagian-bahagian yang dikatakan sebagai aurat adalah sepertimana yang telah dijelaskan oleh Nabi Allah Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam iaitu seperti berikut ;
1. Lelaki - Dari pusat hingga ke lutut.
2. Perempuan - Semua anggota tubuh badan kecuali yang biasa dilihat iaitu muka dan tapak tangan


Allah Subhanahu Wata'ala juga mewajibkan manusia untuk memelihara pandangan mereka daripada melihat aurat orang lain dan juga memelihara aurat mereka daripada dilihat orang lain sepertimana yang telah dinyatakan dalam Al-Quran dalam surah An-Nur, ayat 30-31 serta sebuah hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam iaitu ;


قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. 

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. 
(An-Nuur 24:30-31)

Dari Abu said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda : Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa pakaian dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perermpuan dalam satu selimut tanpa pakaian.
(H.R. Bukhari)

Berdasarkan Kedua-dua ayat Al-Quran dan hadith di atas, jelaslah bahawa jatuh hukum wajib ke atas setiap manusia yang bergelar mukmin untuk senantiasa memelihara aurat mereka daripada pandangan orang lain.

Namun, para alim ulama’ mazhab mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan yang cukup berbeza-beza mengenai had serta batas-batas aurat lelaki sama ada melihat atau dilihat oleh orang lainnya. Bagi pendapat dan pandangan hukum Imam Hanafi dan Imam Hambali, "Lelaki diwajibkan untuk menutupi auratnya di antara pusat hinggalah melebihi paras lutut daripada dilihat oleh lelaki atau wanita yang bukan mahramnya kecualilah kepada isterinya. Isteri boleh (harus) melihat aurat suaminya, kecuali pada kemaluannya dan demikian jugalah bagi suami kepada isterinya. Ini adalah kerana hukum suami isteri melihat kemaluan masing-masing adalah makhruh hukumnya.


Manakala bagi pendapat dan pandangan hukum menurut Imam Maliki dan Imam Shafie, "Aurat kaum lelaki ada 2 keadaan ;
(1) Auratnya dengan sesama lelaki dan wanita yang mahram dengannya.
(2).Auratnya dengan wanita yang bukan mahram dengannya. 


Keadaannya dengan golongan yang pertama, iaitu dengan lelaki dan wanita yang mahram dengannya adalah di antara atas pusat hinggalah melebihi paras lutut sahaja. Manakala dengan golongan yang ke 2, iaitu sesama dengan wanita yang bukan mahram dengannya adalah seluruh badannya itu aurat bagi mereka. Ertinya di sini adalah seluruh tubuhnya adalah dilarang untuk di lihat oleh kaum wanita yang bukan mahramnya. Kecuali bagi Imam Maliki yang membolehkan hujung-hujung aurat lelaki boleh di lihat oleh wanita yang bukan mahramnya apabila aman daripada fitnah. Sementara Imam Syafie mengharamkan melihat dengan mata" (Rujuk kepada kitab Al-Fiqh ‘Ala Al-Mazahib Al-Arba’ah).


Kesimpulannya, peliharalah aurat anda daripada dilihat orang lain dan hindarilah diri anda daripada melihat aurat orang lain.


~ Moga-moga tajuk ini memberi manfaat kepada semua pembaca ~
モハマド  ジュワイディ  ビン  モハマド  ジョハリ

0 comments:

Catat Ulasan